Dalam sistem federalisme di Malaysia, urusan tanah terletak di bawah bidangkuasa kerajaan negeri yang disebut di dalam Kanun Tanah Negara (KTN) sebagai Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Kuasa kerajaan negeri ini terkandung di dalam senarai kedua, jadual kesembilan perlembagaan persekutuan.
Sehubungan dengan itu, semua tanah pada dasarnya dimiliki oleh PBN. Seksyen 40 KTN secara jelas memperuntukkan bahawa semua tanah di dalam negeri dan semua galian dan batuan yang terkandung di dalam tanah terletak hak hanya kepada PBN.
Seksyen 5 KTN pula mentakrifkan ‘tanah kerajaan’ sebagai semua tanah di dalam sesebuah negeri termasuk dasar sungai, tepi pantai dan dasar laut, yang terletak di dalam sempadan negeri atau kawasan perairan negeri selain dari tanah berimilik, tanah rizab, tanah lombong dan hutan simpan. Tanah berimilik adalah tanah yang telah diberikan oleh PBN kepada pemunya tertentu melalui satu hak milik berdaftar. Tanah rizab adalah mana-mana tanah yang dirizabkan atau peruntukan khas untuk tujuan awam mengikut seksyen 62. Manakala tanah lombong adalah yang sudah tertakluk kepada sijil lombong atau pajakan lombong yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kepada mana-mana badan atau individu yang berhak. Tanah hutan simpan pula adalah tanah yang diwartakan sebagai hutan simpan menurut undang-undang yang berkuatkuasa seperti pewartaan di bawah seksyen 7 Akta Hutan Simpan 1984 bagi melindungi khazanah alam.
Hak dan penguasaan kerajaan negeri atau PBN ini diperkuat lagi dengan peruntukan seksyen 41-45 yang secara jelas memberikan kuasa kepada PBN untuk melupuskan tanah. Pelupusan boleh dibuat samada melalui pemberimilikan, perizaban, pemberian lesen dan pemberian permit. PBN juga berhak mengenakan syarat ke atas tanah yang dilupuskannya.
Di samping itu, PBN juga mempunyai kuasa untuk melucuthakkan atau merampas tanah jika pemunya tanah berkenaan tidak mematuhi syarat atau tidak membayar cukai tahunan seksyen 130. PBN juga berhak mendapat penyerahan semula seksyen 195 dan perkembalian seksyen 46 dan 351.
PBN juga adalah kuasa tunggal yang berhak untuk melakukan pengambilan tanah berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 walaupun tanah itu ingin diambil untuk kegunaan kerajaan persekutuan atau mana-mana badan atau agensi di bawahnya. Bagi pemilikan hak milik strata atau hak milik ke atas blok-blok bangunan pecah bahagi, PBN juga mempunyai kuasa untuk meluluskan hak milik strata dan mengawal selia pengurusan bangunan yang dipecah bahagi berdasarkan Akta Hak Milik Strata 1985
Di samping itu, PBN juga diberi kuasa untuk membahagikan kawasan negeri kepada daerah-daerah, seterusnya kepada daerah kecil dan mukim, serta meminda sempadan mana-mana daerah, daerah kecil, mukim, bandar atau pekan seksyen 11.
No comments:
Post a Comment