7.0 PENUTUP

Apa yang dapat disimpulkan, paparan dan pengisian maklumat yang di paparkan di laman blog ini banyak menyentuh mengenai bentuk pemunyaan tanah. Dimana di bawah skop bentuk pemunyaan tanah ini ada menceritakan tentang kedudukan pihak berkuasa negeri, penjelasan mengenai pengertian tanah, apa itu lekapan dan catel, penerangan mengenai tahap pemilikan dan penikmatan tanah malah ada juga menyentuh mengenai beberapa istilah berkaitan dengan pemunyaan tanah. Kalau dapat kita perhatikan bahawa segala urusan mengenai tanah terletak di bawah bidangkuasa kerajaan negeri atau dengan kata lain disebut sebagai Pihak Berkuasa Negeri. PBN mempunyai hak untuk melupaskan tanah,melucuthakkan atau merampas tanah jika pemunya tanah berkenaan tidak mematuhi syarat atau tidak membayar cukai tahunan. Jadi apa-apa urusan yang bersangkutan dengan tanah perlulah terlebih dahulu mendapat keizinan daripada PBN.

Menyentuh mengenai pengertian tanah pula, di dalam blog ini ada menjelaskan mengenai apa yang dimaksudkan dengan tanah. Dimana di dalam Kanun Tanah Negara (KTN) di bawah seksyan 5 ada menjelaskan apa itu tanah. Jika kita hanya menggunakan pengetahuan atau pandangan kita semata-mata sudah pasti  kita akan beranggapan bahawa tanah hanyalah merujuk kepada tanah yang kita pijak sehari-hari. Walhal skop pengertian tanah itu luas, dimana tumbuh-tumbuhan semulajadi dan tanah yang dilitupi air juga termasuk dalam pengertian tanah. Melalui pembacaan blog ini, sedikit sebanyak kita dapat memahami dengan jelas apa itu yang ditakrifkan dengan tanah.

Selain itu, pengunjung blog ini juga akan dapat memahami apa itu yang dimaksudkan dengan lekapan dan catel. Dimana seperti yang dipaparkan di blog ini lekapan adalah sesuatu yang melekat atau terpasang secara kekal pada tanah atau pada lekapan lain sehingga ia dianggap sebahagian dari tanah. Lekapan juga kalau kita faham, ia merupakan benda yang tak boleh dialih-alih. Contohnya, sebuah bangunan batu. Berbeza pula dengan catel. Catel disini merujuk kepada sesuatu yang diletakkan pada tanah atau pada lekapan tetapi ia tidak dianggap sebahagian dari tanah. Catel adalah benda yang boleh dialih-alih. Sebagai contoh, almari pakaian yang diletakkan di atas lantai.

Bukan itu sahaja, para pengunjung blog juga turut diberi pemahaman dari segi tahap pemilikan dan penikmatan tanah. Maksudnya pemunya tanah boleh mengetahui hak-haknya ke atas sesuatu tanah. Dimana ada disediakan penjelasan mengenai hak penggunaan dan penikmatan bagi pemunya tanah iaitu dari segi hak menggunakan ruang udara. Pemunya tanah mempunyai hak menggunakan dan menikmati secara eksklusif seluas mana ruang udara di atas permukaan tanah dan seluas mana tanah di permukaan itu, setakat yang perlu dan munasabah untuk penggunaan dan penikmatan tanah tersebut. Bahkan ada juga diberi penekanan mengenai hak sokongan tanah. 

Hak sokongan tanah ini merujuk kepada hak untuk mendapat sokongan tanah secara berterusan dari tanah-tanah bersebelahan. Ini bermakna pemilik tanah yang berjiran mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ia terus kekal dan tidak terhakis atau runtuh.Namun begitu, hak ini tertakluk kepada syarat bahawa tanah tersebut di dalam keadaan semulajadi atau asli. Jika tanah itu telah diubahsuai sehingga mengubah struktur kekuatan tanah, maka ia tidak berhak untuk menuntut hak sokongan dari tanah berjiran.

Malahan, pengunjung blog ini juga dapat mempelajari beberapa istilah yang berkaitan dengan  pemunyaan tanah. Terdapat beberapa istilah yang dipaparkan di blog ini iaitu apa itu yang dimaksudkan harta alih dan harta tak alih, penerangan mengenai pengertian dari segi apa itu milikan dan pemunyaan dan pada masa yang sama turut menceritakan apa itu hakmilik dan kepentingan. Pengunjung juga tidak ketinggalan untuk mengetahui apa itu perbezaan diantara kepentingan berasaskan undang-undang dan kepentingan berasaskan ekuiti. Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh membezakan  diantara pelupusan dan urusniaga.

Di dalam blog ini juga turut memaparkan contoh-contoh kes yang pernah berlaku dan dirujuk di mahkamah. Kes-kes yang diceritakan di dalam blog ini juga jika diperhatikan sedikit sebanyak dapat membantu orang ramai untuk lebih memahami mengenai bentuk pemunya tanah di Malaysia. Secara keseluruhannya, boleh dikatakan bahawa blog ini boleh membantu orang ramai bagi mengetahui dan memahami  dengan lebih mendalam lagi apa yang dimaksudkan dengan pemunya tanah. Akhir madah, diharapkan dengan adanya blog ini, para pengunjung atau orang ramai boleh mendapat input yang berguna mengenai bentuk pemunyaan tanah dan dapat merungkaikan rasa kekeliruan mengenai bentuk pemunyaan tanah di Malaysia.

No comments:

Post a Comment