6.0 BEBERAPA ISTILAH BERKAITAN

      1.   Harta alih (moveable property) dan harta tak alih/ harta tanah (immoveable property)

Harta tanah adalah harta yang tidak boleh dialihkan iaitu tanah dan semua yang melekat padanya. Harta alih adalah harta lain dari harta tanah termasuk barang-barang dan catel.

2.   Milikan (possession) dan pemunyaan (ownership)

Pemunyaan bermakna hak milik ke atas sesuatu, samada harta alih atau hartanah. Contohnya, pemunya tanah yang sah dan berdaftar yang memiliki tanah itu melalui pemberimilikan oleh PBN atau melalui urusniaga pindahmilik dengan individu lain.
Umumnya pemunyaan termasuk :

a)   Hak eksklusif untuk menggunakan sesuatu
b)   Hak eksklusif melupuskannya
c)   Hak eksklusif memilikinya/ mendudukinya
d)    Hak untuk memindahkannya selepas meninggal dunia

Milikan menggambarkan sesuatu yang lebih rendah kepentingannya dari pemunyaan. Milikan bermakna sesuatu yang berada di tangan atau di dalam pemilikan/penguasaan seseorang walaupun ia bukan hak miliknya. Contohnya, penyewa tanah, penerima pajakan dan pemegang lesen pendudukan sementara (LPS).

Pemilik mempunyai kepentingan ke atas tanah tersebut walau pun tidak mempunyai hak milik yang sah. Oleh yang demikian pemilik boleh mengambil tindakan ke atas pencerobohan oleh mana-mana pihak jika pencerobohan itu memberi kesan kepada kepentingannya. Jika pencerobohan itu memberi kesan dan kerosakan yang berkekalan pemunya turut boleh mengambil tindakan undang-undang.

3.   Hak milik (title) dan kepentingan (interest)

Hak milik tanah dibuktikan melalui Dokumen Daftaran Hakmilik dan Dokumen Keluaran Hakmilik. Kepentingan menggambarkan sesuatu yang lebih rendah dari pemunyaan. Mengikut KTN, ia termasuklah penyewa, pemegang gadaian, atau isemen berdaftar.

4.   Kepentingan berasaskan undang-undang dan kepentingan berasaskan ekuiti

Kepentingan berasaskan undang-undang adalah kepentingan yang wujud secara sah dan rasmi berdasarkan peruntukan yang termaktub di dalam undang-undang yang berkaitan. Ia juga disebut kepentingan berdaftar. Contohnya, sewa berdaftar yang dibuat di bawah KTN.

Kepentingan berasaskan ekuiti adalah kepentingan yang tidak berdaftar yang lebih lemah dari kepentingan berasaskan undang-undang. Contohnya, gadaian yang tidak berdaftar.

5.   Pelupusan dan urusniaga

Pelupusan adalah pemberian hak-hak tertentu yang berkaitan dengan tanah samada secara kekal atau sementara oleh PBN kepada individu atau badan-badan.

Urusniaga adalah urusan yang dilakukan ke atas tanah di antara individu-individu atau badan-badan, samada swasta atau awam.

No comments:

Post a Comment